Oleh Matt Nazriee Hassan DARI dunia modeling, seorang gadis melangkah berani menceburi kerjaya bahaya dan berisiko
dengan mengadakan persembahan bersama ular-ular berbisa. Sejak itu, cita-citanya hanya satu, ingin digelar sebagai
Ratu Ular Dunia melalui penampilannya sebagai seorang penghibur dan peragawati yang beridentitikan ular. Selepas
enam bulan sahaja menceburi kehidupan bersahabat dan bermain-main bersama ular berbisa, Fazida Mat Saad, 24, telahpun bergelar
Gadis Ular Malaysia pada bulan Jun 2000.
Gelaran itu dianugerahkan oleh Malaysia Book Of Record kerana berjaya tinggal bersama-sama 90 ekor pelbagai sepsis
ular berbisa selama 31 hari dalam bilik kaca di Kota Bahru, Kelantan. Fazida adalah satu-satunya gadis di negara
ini yang mampu berbuat demikian dan semasa percubaan untuk mencatat gelaran itu, beliau berjaya menarik 200,000 pengunjung
menyaksikan kehebatannya. "Saya ingin membuktikan, wanita Malaysia pun boleh melakukan sesuatu yang luar biasa
bagi mengharumkan nama negara," katanya kepada Infomaya dalam satu pertemuan baru-baru ini. Sejak itu, beliau
sebelum ini seorang peragawati sambilan mulai dikenali ramai dan giat mengadakan persembahan bermain ular ke seluruh negara
bersama gurunya, Mohamed Ali Destagir. Dalam usahanya untuk bergelar Ratu Ular Dunia, Fazida berkata, beliau akan
tinggal lebih lama dengan beratus-ratus jenis ular berbisa dengan mengundang Guiness Book Of World Record bagi mendapat pengiktirafan
dunia secara total. "Suatu hari ianya pasti berlaku, itulah azam saya kini sejak berjinak-jinak dalam dunia
permainan ular," kata Fazida lagi. Beliau menjelaskan, ketika ini, belum ada lagi wanita yang diikhtiraf sebagai
Ratu Ular Dunia. Gadis manis ini, yang lebih mesra dengan panggilan Gee, kini bersama-sama krewnya yang dikenali
sebagai Cobra 2000 dalam rangka road-show ke seluruh negara untuk beraksi sebagai penghibur persembahan ular nombor satu di
Malaysia. Cobra 2000 terdiri daripada 12 kakitangan, termasuk Fazida dan Ali Destagir yang bakal beraksi di atas
pentas. Pada setiap persembahan, Fazida akan menerapkan unsur-unsur modeling dalam persembahannya dengan menampilkan
tarian ular, pertunjukkan fesyen ular dan cat-walk bersama ular. Pertunjukkan fesyen ular memperagakan ular-ular
sebagai selendang, tali leher, topi, tali pinggang dan sebagainya. Fazida yang berasal dari Taiping, Perak menyatakan
beliau dengan dunia ular sejak berusia tujuh tahun lagi. "Entah kenapa ketika itu saya begitu tertarik apabila
melihat gambar-gambar dan rencana mengenai ular di dalam majalah ataupun akhbar. "Apabila usia mencecag remaja
saya tidak lepaskan peluang menyaksikan persembahan dan pertunjukan ular di merata-rata tempat," jelasnya lagi.
Titik permulaan Fazida sebagai penghibur ular tercetus apabila beliau berkesempatan bertemu dengan Ali Destagir di belakang
pentas selepas gurunya itu mengadakan persembahan di ibu negara awal tahun 2000. "Saya menyatakan minat kepada
Ali untuk terbabit dalam dunia ular sebagai penghibur dan beliau pun bersetuju untuk melatih saya," katanya. Selepas
lima bulan berlatih teknik-teknik menjinakkan ular beliau bersedia untuk melaksanakan misi yang pertama, mencatat rekod sebagai
wanita pertama di negara ini tinggal bersama-sama ular berbisa selama beberapa hari. Di Kota Bahru, Fazida berjaya
melaksanakan impiannya sebagai "Gadis Ular Malaysia" dengan tinggal bersama 90 ekor ular berbisa selama 31 hari
berturut-turut. Semasa melaksanakan tugasnya itu, beliau sekali dipatuk ular, namun itu tidak mematahkan semangatnya.
"saya berjaya menahan bisa patukan ular tedung itu, kerana semasa mula-mula berlatih dahulu, saya telahpun lima
kali dipatuk ular," jelasnya lagi. Pada peringkat awal pembabitannya dalam dunia ular, Fazida mendapat tentangan
daripada ibunya serta sanak saudaranya. Fazida merupakan anak bongsu dari lapan beradik. Bapanya bekas tentera dan
telahpun meninggal dunia. "Tetapi di saat-saat akhir ketika saya sudah bersedia untuk mencatat rekod tinggal
bersama ular seluruh keluarga mula mengizinkan pembabitan saya," katanya. Fazida turut memohon restu ibunya,
ketika mahu melangkah masuk ke dalam kurungan kaca dan ibunya turut membekalkan sepotong ayat doa untuk diamalkan ketika berhadapan
dengan ular berbisa. Bekalan ibunya, turut mengiringi kejayaan Fazida di samping teknik-teknik menjinakkan ular yang
dipelajari dari gurunya. -- infoMAYA
e-mel Fazida: fazida@cobraeite.zzn.com
FOTO FAZIDA
Fazida tersenyum sikit ketika ditemubual oleh Cobraeite
Fazida sedang menunjukkan pelbagai jenis ular berbisa sewaktu mengadakan persembahannya di Alor Setar, baru-baru ini
|