NURMALENA, RATU JENGKING CATAT REKOD DUNIA
Nurmalena Hassan akhirnya menamatkan pertarungan mautnya dengan mengukir nama dalam Malaysia Book of Records sebagai wanita
pertama tinggal bersama 2,700 ekor kala jengking dalam sebulan, sekali gus mencipta rekod dunia. Gadis manis dari
Tumpat itu melangkah keluar dari bilik kaca yang menjadi tempat tinggalnya selama ini tepat pukul 3.40 petang sebelum dipakaikan
mahkota keemasan tanda kehebatan sebagai juara. Nurmalena, 24, juga diberikan sijil pengiktirafan terhadap rekod
yang baru diciptanya itu daripada wakil Malaysia Book of Records, Roseline Michael dalam upacara penuh bersejarah. Majlis
gemilang itu turut merakamkan saat-saat manis apabila gurunya, Raja Ular Ali Khan Shamsuddin turut diberi anugerah sama kerana
terdahulu mencipta rekod sebagai lelaki pertama tinggal bersama 5,000 ekor kala jengking pada 26 Julai 1997. Nurmalena
yang ditemui selepas itu berkata, beliau berasa terharu dengan anugerah tersebut dan menyifatkannya sebagai kejayaan anak
Kelantan dan kebolehan anak Malaysia umumnya. "Saya mahu berehat selepas ini sebelum memberi tumpuan kepada
pertunjukan yang akan dibuat ke seluruh negara," katanya dalam nada sebak bercampur gembira di Kota Bahru, Kelantan.
Nor Malina memulakan pertarungan mautnya pada awal Julai lalu dan sepanjang tempoh 31 hari yang perlu dilaluinya,
beliau hanya diberikan pelepasan 15 minit setiap hari untuk menguruskan diri. Sepanjang berada dalam bilik kaca tersebut,
gadis itu sudah tujuh kali disengat binatang berbisa itu sehinggakan satu ketika keadaannya teruk dan hampir-hampir dibawa
ke hospital. Usahanya bukan sahaja mendapat liputan meluas media tempatan malah turut mengundang media-media antarabangsa
dari luar negara untuk memberikan liputan kepada gadis berkenaan. Menurut Nurmalena, perasaan takut sememangnya sentiasa
bermain dalam dirinya tetapi atas sokongan semua pihak terutamanya daripada gurunya Ali Khan, kegusaran itu dapat juga diatasi.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah negeri, Takiyuddin
Hassan berkata, usaha Nor Malina yang turut dibuat bersama dengan pameran Reptilia Antarabangsa 2001 telah menarik ramai pengunjung
ke Muzium Negeri. Katanya, sepanjang diadakan pameran itu, sebanyak 60,000 orang pengunjung termasuk 368 pelancong
asing mengunjungi muzium berkenaan bagi menyaksikan pameran dan gadis tersebut.
dipetik daripada Utusan Malaysia, 1 Ogos 2001
|