Oleh: ZUHAIRI ALI ANDA sekeluarga sedang menonton televisyen pada satu malam. Melihatkan pintu rumah terbuka, masuk
seekor ular kecil berwarna hijau menyusur ke tengah dewan. Kemunculan ular itu tentunya menyebabkan ada yang menjerit
ketakutan, bertenggek di atas sofa atau bergegas mencari penyapu.

Reaksi seperti itu sebenarnya normal kerana masyarakat menganggap semua spesies ular berbahaya iaitu yang kecil berbisa dan
yang besar menelan orang. Anggapan itu tidak sepenuhnya benar. Perlu juga kita ingat bahawa ular ialah reptilia yang
selalu disalah anggap oleh manusia. Hakikatnya tidak semua ular berbahaya malah banyak ular yang takut kepada manusia.
Jika anda berada di Langkawi, satu tempat yang menarik untuk dikunjungi sambil menambah ilmu pengetahuan ialah Taman Perlindungan
Ular di Ulu Melaka yang merupakan produk terbaru pelancongan di pulau ini. Ia juga menarik perhatian Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang meluangkan masa kira-kira sejam melawat taman itu pada 8 April lalu. Taman seluas
tiga hektar itu dibangunkan oleh Kumpulan Maju Holdings dengan fasa pertama membabitkan kos RM3.5 juta. Ia dibuka kepada pelawat
pada 8 Mac lalu dan terletak di hadapan Kampung Tok Senik Resort yang juga milik syarikat berkenaan. Ada empat lagi
fasa tambahan akan dimajukan untuk memenuhi keluasan sebenar taman ini yang menjangkau 46 hektar. Fasa pertama hanya untuk
ular spesies tempatan, diikuti dengan kumpulan ular tropika, bakau dan akhir sekali ular gurun. Dari jauh, pemandangan
kepala ular yang ternganga sebesar pintu gua di taman ini memang berjaya menarik perhatian. Ia mengambil konsep umum pelbagai
spesies yang ada. Kepalanya berbentuk kepala ular tedung, badannya ular sawa dan ekornya pula mencontohi ular orok-orok
atau rattle snake yang hanya boleh ditemui di benua Amerika Utara. Konsep taman ini ialah mendidik masyarakat tentang
ular dan kitaran hidupnya. ``Apabila orang sudah faham, mereka akan menghargai ular dan tidak hanya hendak membunuh
reptilia itu bila terjumpa,'' kata Penyelaras Projek Tok Senik Resort, Zulkefli Samad. Taman ini mempunyai hampir
200 ekor ular daripada 18 spesies. Ia dikendalikan oleh 15 kakitangan, enam daripada mereka adalah penjinak ular. Antara
spesies yang terdapat di sini ialah kumpulan berbisa seperti ular tedung senduk, ular tedung selar dan ular kapak. Ular berbisa
mempunyai kepala berbentuk tiga segi melainkan ular laut dan katam. Satu ciri ular tedung senduk ialah tanda atas
kepalanya. Spesies yang bertanda `0' berwarna putih adalah yang biasa, sementara yang tidak bertanda lebih berbahaya kerana
ia jenis menyembur bisa (spitting cobra). Semburannya menjangkau dua meter dan boleh membutakan mata. Jika bisa terkena
luka, kesannya sama seperti patukan yang boleh membawa maut. Spesies separuh berbisa pula seperti ular punti dan
tiung. Ular sawa juga dipelihara termasuk spesies albino yang sukar ditemui, sementara reptilia terbesar di sini ialah ular
sawa batik atau nama timangannya Chombi. Ular itu sepanjang tujuh meter dengan berat 75 kilogram. Saiz sebesar ini cukup untuk
menelan seorang lelaki dewasa. Chombi dikatakan yang ular ketiga paling besar dalam kurungan di Malaysia. Ia akan
makan setiap kali selepas bersalin kulit (antara sebulan hingga dua bulan) dengan dijamu 10-15 ekor ayam. Reptilia
paling mahal ialah ular sawa putih (albino) yang dibeli daripada pembekal berlesen pada harga RM4,500. Ular tedung selar pula
dibeli mengikut berat dengan purata harga RM100 setiap kilogram manakala tedung senduk kira-kira RM40 sekilogram. Ditanya
apakah maknanya ular separuh berbisa, Zulkefli menjelaskan, patukan ular ini boleh membawa maut kepada manusia yang mempunyai
antibodi lemah dan berpenyakit seperti lelah, kencing manis dan lemah jantung. Manusia yang mempunyai tubuh badan
sihat tidak menanggung apa-apa mudarat melainkan bengkak dan demam. Taman ini juga mempunyai enam herbarium atau
mini habitat ular yang berbentuk silinder kaca. Di tempat ini, ular dilepaskan dan bebas bergerak dalam persekitaran yang
hampir menyamai alam semula jadinya. Ular yang sakit pula dilepaskan dalam kawasan khas dipanggil pusat rekopulatif.
Ular-ular itu dibiarkan pulih dengan mencari sendiri penawar. Penawar paling mujarab ialah embun. Bagaimana pula
jika manusia terkena patukan ular berbisa? Daripada pengalamannya dipatuk tedung selar, Zulkefli menceritakan penderitaan
menahan sakit yang bukan kepalang. ``Mula-mula tangan dan lidah kebas sampaikan digigit tidak terasa. Bisanya kemudian
menangkap tulang pinggang seperti dicengkam. Mata jadi sangat mengantuk. ``Lepas itu tiba-tiba rasa dahaga. Saya
minum sebaldi air sampai buncit perut tapi masih tak puas. Terasa nak buang air besar, buang air kecil dan muntah. Pendek
kata, gelap dunia,'' katanya. Biasanya mangsa patukan ular berbisa tidak dibenarkan tidur. Ini kerana jika terlena,
aliran bisa bergerak lebih pantas dan mungkin menyebabkan mangsa mati dalam tidur. Apa yang dilakukan untuk melegakan
kesakitan? Kata Zulkefli, ``Cari pisau dan kelar tempat luka. Percayalah, bisa ular jauh lebih sakit daripada mengelar tangan
sendiri.'' Di taman ini pelawat boleh mempelajari petua zaman dahulu yang ternyata mujarab. Daun serunai atau pokok
kapal terbang telah diakui sebagai penawar bisa ular, begitu juga dengan pokok setawar ular. Kedua-dua pokok itu ditanam dalam
kawasan taman ini. Tidak kira pokok yang mana, caranya sama. Ambil daun dan kunyah. Jusnya yang pahit ditelan sementara
hampasnya dipupuk pada kesan luka. Kedua-duanya mempunyai tindak-balas yang mengagumkan. Jus itu akan masuk ke dalam saraf
dan menolak bisa untuk diserap oleh hampas tadi. Orang yang dipatuk ular juga ada pantang. Mereka perlu mengelak
memakan tumbuhan menjalar seperti sayuran kekacang dan tembikai untuk tempoh kira-kira tiga bulan. Jika petua ini tidak diamalkan,
mangsa mungkin mengalami kesan sampingan. Penjinak ular yang juga Juara Asia 2001, Indra Suhardi Mohd. Nor pernah
dipatuk ular tedung senduk di tangannya pada tahun 1998. Kerana dia tidak mengendahkan pantang, bisa ular itu telah lama hilang
tetapi jari kelingkingnya cacat hingga kini. Satu acara utama yang disediakan untuk pengunjung Taman Perlindungan
Ular Langkawi ialah pertunjukan ular. Pertujukan itu diadakan di sebuah pentas khas. Biasanya setiap persembahan mengambil
masa antara 30 hingga 40 minit. Berbeza dengan pertunjukan di tempat lain, penjinak ular di sini mempunyai gaya tersendiri.
Penasihat taman ini yang juga penjinak ular terkenal, Othman Ayeb mencipta pergerakan dipanggil `senam susur selar'.
Gayanya umpama senaman tai-chi. Di sebalik pergerakan yang lembut seakan menari untuk menyedapkan mata memandang, ia mempunyai
lengguk untuk menangkis serangan ular. Keistimewaan `senam susur selar' ini telah terbukti apabila gandingan Zulkefli
dan Indra Suhardi muncul johan pada pertandingan bermain dan menjinak ular Malaysia dan antarabangsa di Perlis pada awal tahun
ini. Sewaktu pertunjukan, penonton mungkin seronok bercampur ngeri. Di atas pentas lain pula ceritanya kerana di
sebalik kehebatan bermain ular, seseorang penjinak itu mempertaruhkan nyawa mereka. Mereka akan merenung mata reptilia
itu untuk mengetahui sama ada ia mahu bermain atau bertindak agresif. Jika bebola matanya tidak bergerak, ular itu tidak akan
menyerang, lalu boleh dibuat sesuka hati sehingga ke tahap mencium mulutnya. Namun jika bebola matanya liar, ular
itu memberi amaran awal bahawa moodnya tidak baik pada waktu itu. ``Di taman ini semua ular tidak dibuang bisanya.
Ular yang dibuang bisa boleh kita tahu bila melihat pundi bisa di atas matanya kempis,'' kata Zulkefli. Jika diberi
pilihan, penjinak ular lebih suka bermain dengan ular yang baru ditangkap. Ular liar ini lebih agresif dan mencabar kerana
ia belum tahu selok-belok pertunjukan. Teknik bermain ular juga berbeza. Ular tedung senduk menyerang sambil berdiri
separuh badan. Ular tedung selar lebih berbahaya kerana suka menerjah mangsa untuk mematuk sendi atau ubun-ubun. Ular
rusuk kerbau pula pandai `berlakon'. Apabila penat bermain ia akan jadi lembik dan berpura-pura mati. Sebaik sahaja tenaganya
pulih, ia akan melarikan diri. Spesies paling sukar dikendalikan tentulah ular sawa kerana saiznya yang besar. Mendekati
ular sawa dari belakang sebenarnya cukup bahaya kerana tanpa kita sedari, kepalanya boleh berpusing 180 darjah sepantas kilat
untuk menyerang. Ular sawa mempunyai gigi meruncing ke belakang. Contohnya apabila ia menggigit tangan, jalan terbaik
ialah mangsa tidak melawan. Jika tangan ditarik, gigitan yang mencengkam tulang itu dengan mudah merobek daging. Anda
boleh mempelajari lebih mendalam tentang ular jika mengunjungi Taman Perlindungan Ular Langkawi. Ia dibuka setiap hari dari
pukul 10 pagi hingga 6 petang (Ahad-Khamis) dan 10 pagi hingga 9 malam (Jumaat-Sabtu). Bayaran masuk ialah RM12 bagi dewasa
sementara tiket untuk kanak-kanak ialah RM7.
|